finder

Saturday, June 25, 2011

ASIF JIDDAN


assalamu'alaikum..apa khabar iman antum sekalian??sihat??ana minta maaf sgt2 sbb dah lame sgt tak update blog ni.. keFUTURan mendatangkan kesibukan ana terhadap perkara2 yg tidak berfaedah..ana harap Allah akan memberi bantuan kpd ana utk lebih kuat berjalan di atas muka bumi ini sebagai penggerak dakwah ini.. inshaALLAH..sebulan sekali ana akan berjanji utk diri ana utk update blog ini.. salam ukhuwwah fillah..

Thursday, December 9, 2010

Menjaga Keaslian Dakwah

by Pertubuhan IKRAM Malaysia on Thursday, December 9, 2010 at 6:26pm
Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
Ketika dakwah mulai memasuki marhalah seterusnya dari marhalah-marhalah sebelumnya, kadang-kadang kita di tuntut untuk menyesuaikan diri dengan segala perubahan dan situasi serta keadaan yang bergerak cepat.

Mungkin masih segar dalam ingatan kita ketika marhalah dakwah ini masih berada pada Mihwar Tandzimi di mana dakwah itu terasa sangat kental namun ketika kita telah beralih ke Mihwar Sya’abi, ternyata kekuatan dakwah terasa telah mula mencair.

Oleh yang demikian, ketika setiap perubahan marhalah yang berlaku inilah, akan terlihat :

1.      Apakah dakwah ini akan tetap mampu menjaga keasliannya atau tidak?
2.      Apakah keaslian dakwah pun mesti mengikuti situasi dan keadaan perkembangan yang berlaku?

Agar harakah terjamin berada di jalan yang benar menuju sasaran dan matlamat, maka ia mestilah menjaga dan memelihara keasliannya kerana sekecil apapun penyimpangan atau berkurangnya keaslian, pasti akan melahirkan penyimpangan yang semakin besar seiring dengan kesinambungan, pertumbuhan dan kekuatan yang terus semakin berkembang.

Akhirnya ia akan menyeret harakah semakin jauh dari jalannya yang benar di samping melambatkan lagi usaha bagi tercapainya sasaran harakah.

Jika dakwah yang kita bawa adalah dakwah Islam sebagaimana yang di nyatakan oleh pengasasnya, Imam Hasan Al Banna maka ini bererti keaslian dan kesinambungannya akan hanya dapat diwujudkan dengan Islam.

Menjaga keaslian bererti :

1.      Berpegang teguh kepada Islam.
2.      Tidak menyalahinya samada dalam teori ataupun praktiknya.

Imam Hasan Al Banna sentiasa menekankan agar jamaah beriltizam dengan Islam, kitab dan sunnah serta melangkah sesuai dengan sirah Rasulullah saw ketika beliau menegakkan Daulah Islamiyah yang pertama.

Untuk itulah, beliau menekankan kepada pendokong dakwah untuk sentiasa memberikan perhatian penuh kepada perkara-perkara berikut dalam rangka menjaga keaslian dakwah :

PERTAMA : PERHATIAN KEPADA ASPEK KEFAHAMAN ( Al-FAHMU).
  
Kefahaman yang dimaksudkan di sini adalah kefahaman yang menyeluruh terhadap sebuah harakah itu sendiri, samada tentang :

a.       Manhajnya.
b.      Tujuannya.
c.       Sasarannya.
d.      Marhalah-marhalahnya.
e.       Masalah-masalah dan halangan-halangan yang akan ditempohi di dalam perjalanannya.

Untuk melindungi aspek kefahaman ini, Imam Hasan Al Banna meletakkan kefahaman ( Al-Fahmu ) sebagai salah satu prinsip dari 20 prinsip sebagai kerangka yang dapat membenteng kefahaman dari kesalahan dan penyimpangan.

Beliau menjadikan kefahaman ( Al-Fahmu ) yang sahih terhadap Islam sebagai salah satu rukun bai’ah agar setiap al akh dapat menjadi ‘penjanji’ yang teguh dan dipercayai serta terjaga dari penyimpangan atau perubahan.

Menepati bai’ah pada hakikatnya adalah menepati bai’ah kepada Allah swt sebagaimana firmanNya :

“Bahwasanya orang-orang yang berjanji setia kepada kamu, Sesungguhnya mereka berjanji setia kepada Allah. Tangan Allah di atas tangan mereka, Maka Barangsiapa yang melanggar janjinya niscaya akibat ia melanggar janji itu akan menimpa dirinya sendiri dan Barangsiapa menepati janjinya kepada Allah Maka Allah akan memberinya pahala yang besar.” ( QS Al-Fath : 10 )
  
Demikian pentingnya kesahihan akan kefahaman ( al-fahmu ) ini yang membuatkan Imam Hasan Al Banna mengingatkan kepada seluruh pendokong dakwah yang menempuh dan berada di jalan dakwah ini dengan nasihatnya yang sangat indah :

”Siapa yang menginginkan keuntungan duniawi, kedudukan dan pangkat, tempuhlah jalan selain jalan dakwah. Jalan dakwah hanya menghendaki orang yang berani menempuh perjalanan, bersedia mengerahkan tenaga, bersiap mengorbankan jiwa, harta dan segala yang dimilikinya berupa waktu, tenaga, kesihatan, ilmu dan lain-lainnya semata-mata untuk mencari keridhaan Allah swt. Hasilnya, setiap pendakwah mesti terus menerus mengikhlaskan niat dan menghapuskan penyakit-penyakit hati yang merosakkan dan menyia-nyiakan amal serta menjauhkannya dari barisan shiddiqun dan mukhlisun ( orang yang jujur dan ikhlas ).”
  
Sebuah nasihat yang sangat menyentuh hati dan menepati dengan suasana dan keadaan kita ketika ini, di mana dakwah mulai menampakkan ” buah manisnya” yang menawan hati.

Ketika dakwah telah berinteraksi dengan segala kemanisan dunia berupa harta dan jawatan mahupun kekuasaan, masihkah kefahaman yang sahih akan makna dakwah ini tetap terus terjaga atau justeru tergadai demi meraih kemanisan duniawi tersebut?

KEDUA : TIDAK MENGABAIKAN ASPEK TARBIYAH DAN RUHIYAH.
  
Mengabaikan aspek tarbiyah dan ruhiyah adalah salah satu sebab yang paling penting untuk difahami kerana kelalaian ini boleh muncul kerana terlalu memberikan penumpuan kepada  masalah politik dan pentadbiran.

Perkara ini banyak dialami oleh harakah dakwah yang telah bersentuhan atau bahkan telah berubah menjadi sebuah parti politik. Tingginya pencapaian dan agenda politik yang ada sering menjadikan kita lengah dan lalai dalam memperhatikan aspek dasar dari dakwah itu sendiri iaitu tarbiyah dan ruhiyah.

Jika dakwah dan harakah diibaratkan sebagai sebatang pohon, maka tarbiyah dan tazkiyah ruhiyah adalah air dan bajanya. Pohon akan dilanda kekeringan, bahkan boleh mati jika kekurangan air dan baja. Namun sebaliknya ia akan tumbuh subur jika terus-menerus disirami oleh air dan diberi baja yang cukup.

Tarbiyah adalah wasilah untuk memperkuatkan iman. Semua wasilah tarbiyah mesti memberi fokus kepada terciptanya pohon dakwah yang :

a.       Kukuh.
b.      Rendang.
c.       Berbuah ranum setiap saat dengan izin Allah swt.

Seorang individu yang ditarbiyah dalam berbagai aspek memiliki peranan individu bersama dirinya dan berperanan sosial bersama saudara-saudaranya. Oleh kerana itu, aktiviti tarbiyah untuk semua peringkat mesti benar-benar dijaga kesinambungannya.

Tarbiyah bagi seseorang atau jamaah adalah ibarat ruh di dalam jasad.

Imam Hasan Al-Banna menegaskan :

“Individu muslim yang multazim dengan sifat-sifat mukmin adalah unsur asasi di dalam harakah serta di dalam mewujudkan sasaran. Dialah yang akan menegakkan Baitul Muslim, Mujtama’ Muslim, Hukumah Islamiyah dan Daulah Islamiyah. Jika unsur ini tegak dan kukuh, maka bangunan dan segala tahapannya akan tegak dan kukuh pula.”
  
Memelihara keaslian dakwah bererti memperhatikan secara penuh aspek tarbiyah dan ruhiyah. Oleh kerana itu, perhatian terhadap aspek tarbiyah dan ruhiyah ini tidak boleh berkurang oleh kegiatan-kegiatan seperti politik, penerbitan atau jihad sekalipun manakala tarbiyah mesti mencakupi semua peringkat dan mesti dilakukan sepanjang hayatnya dan tidak boleh terbatas hanya pada orang biasa tetapi juga para mas’ul.

Memperhatikan aspek tarbiyah akan membantu para aktivis dakwah ke peringkat mas’ul. Mereka akan turut serta menjadi orang yang memikul berbagai tanggungjawab yang semakin bertambah di lapangan. Mereka akan berta’awun dan bertafahum dengan baik tanpa perlu menimbulkan perbezaan dan kemusykilan yang besar.

Sebaliknya, dengan tiadanya perhatian terhadap aspek tarbiyah akan melahirkan unsur-unsur yang tidak mempunyai kelayakan untuk naik ke peringkat mas’ul selain terancam dengan berbagai :

a.       Perpecahan.
b.      Perselisihan.
c.       Persoalan yang menghalang perjalanan amal dan kelahiran produktiviti.

Di saat agenda dan kerja dakwah ini hanyut oleh derasnya arus tsunami politik sehingga agenda-agenda tarbiyah dan halaqah berubah menjadi agenda politik maka pada ketika itulah, inti kandungan tarbiyah mulai mengalami pengikisan sehingga sampai pada puncaknya di mana para aktivis dakwah merasa kosong dan kering ruhiyahnya kerana pertemuan dalam majlis tarbiyah yang diharapkan akan dapat memenuhi rasa hausnya akan siraman ruhiyah tidak didapatinya.

Apabila keadaan ruhiyah seseorang berada pada titik kosongnya maka risiko akan jatuh ke dalam kefuturan bukanlah suatu perkara yang mustahil berlaku.

Apabila perkara ini tidak segera disedari oleh para pimpinan harakah maka akan di khuatiri barisan jamaah dakwah ini akan diserang wabak kelemahan secara meluas.

Bukankah fenomena hilangnya aktivis-aktivis dari halaqah serta menurunnya tingkat penyertaan mereka dalam jamaah menunjukkan lemahnya tarbiyah dan ruhiyah jamaah.

Oleh kerana itu, menjaga keaslian dakwah bererti memberikan perhatian penuh kepada masalah tarbiyah dan ruhiyah.

KETIGA : MENGUTAMAKAN SYURA (MUSYAWARAH).
  
Syura adalah sebuah prinsip dalam dakwah.

Di dalam syura, yang diambil adalah pendapat yang paling kuat bagi kepentingan dakwah. Setelah adanya keputusan yang disepakati bersama, maka tidak diperkenankan orang-orang yang memiliki pendapat yang berbeza, berbicara dan bergerak menurut pendapatnya sendiri.

Jika ianya berlaku seperti itu, tentunya ia akan menggoncangkan kepercayaan kepada pimpinan dan keputusan-keputusannya. Boleh jadi, perselisihan ini bersumber dari urusan peribadi di antara anggota jamaah akibat dijerumuskan oleh syaitan.

Jika perkara ini tidak diatasi dengan sesegera mungkin, tidak mustahil ianya akan memberi akibat yang serius dan melahirkan orbit pertentangan selain medan perselisihannya semakin tajam dan meluas berlaku antara kelompok, padahal sebelumnya ia hanyalah antara peribadi tertentu.

Perselisihan seperti ini biasanya lebih banyak berlaku di kalangan pimpinan yang jika dibiarkan berlarutan, tidak mustahil boleh menimbulkan kelemahan dan juga kegagalan.

Yang jelas adalah bahwa setiap al akh itu wajib menjaga diri dengan rasa kecintaan dan persaudaraan agar tidak menimbulkan sesuatu yang menyakitkan pada diri saudaranya.

Kewajiban orang yang menyakiti saudaranya adalah :

1.      Menahan dirinya.
2.      Meminta maaf.
3.      Bersalaman.

Sedangkan orang atau pihak yang tidak terlibat berkewajiban mendamaikan mereka.

Inilah cara yang  tepat untuk menangani kewujudan fenomena perselisihan yang berlaku dengan berdasarkan ajaran Islam dan adab-adabnya.

Menjaga keaslian bererti mesti menjaga dan mengurus kewujudan prinsip syura sehingga dapat memutuskan hasil yang diharapkan.

Syura mesti di tegakkan dengan benar-benar dan  tidak boleh hanya bersifat formality’ kerana jika proses syura telah menghasilkan sebuah keputusan maka bererti ianya telah mengikat semuanya. Tidak boleh persoalan-persoalan di biarkan berserakan kepada peribadi-peribadi anggota sehingga boleh menimbulkan blok-blok dan kelompok-kelompok.

Inilah tiga rangkaian penjelasan yang singkat dan sederhana namun sarat dengan makna bagi kesinambungan sebuah harakah dakwah agar tetap wujud dan semoga Allah swt menyatukan kita semua dalam barisan para mujahidinNya.

Ya Allah, berilah kefahaman yang benar kepada kami tentang keistimewaan dakwah ini yang lengkap dan sempurna serta mewarisi nilai-nilai Islam dan nilai-nilai dakwah dari para Rasul dan Anbiya’, para sahabat Nabi serta Salafus Soleh. Kurniakanlah kemampuan dan kekuatan kepada kami dalam bentuk keseimbangan dalam melakukan langkah-langkah bagi menjaga keaslian dakwah di samping meraikan prinsip-prinsip kemodenan dalam kehidupan.

Ameen Ya Rabbal Alameen

Wan Ahmad Sanadi Wan Ali
Pengerusi JK Tarbiah IKRAM Shah Alam

"Ukhuwah Teras Kegemilangan"


Friday, December 3, 2010

Hijrah Simbol Perubahan

by Pertubuhan IKRAM Malaysia on Thursday, December 2, 2010 at 6:43pm
Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
Di antara goresan sejarah yang sangat penting dalam perjalanan hidup Rasulullah saw adalah peristiwa hijrah Rasulullah saw dan sahabatnya dari kota Makkah ke kota Madinah.

Dalam peristiwa tersebut, tergambar dengan begitu jelas keperibadian seorang manusia yang :

a. Begitu kukuh dalam memegang prinsip yang diyakini.

b. Teguh dalam mempertahankan aqidah.

c. Gigih dalam memperjuangkan kebenaran.

Sehingga sejarah pun dengan bangganya menorehkan tinta emasnya untuk mengenang peristiwa tersebut agar dapat dijadikan kayu ukur dalam pembangunan masyarakat yang :

1. Bersifat madani dan rabbani.

2. Tegak di atas kebaikan.

3. Tegas terhadap kekufuran.

4. Lemah lembut terhadap sesama muslim.

PENGERTIAN HIJRAH Para ahli bahasa berbeza pendapat dalam memberi pengertian kalimat "hijrah" namun kesemuanya berkesimpulan bahwa hijrah adalah menghindari / menjauhi diri dari sesuatu, samada dengan fizikal, lisan dan hati.

Hijrah dengan fizikal bererti berpindah dari suatu tempat menuju tempat lain seperti firman Allah swt,

"Dan pisahkanlah mereka dari tempat tidur mereka" (QS An-Nisa : 34).

Hijrah dengan lisan bererti menjauhi perkataan kotor dan keji seperti firman Allah swt,

"Dan bersabarlah terhadap apa yang mereka ucapkan dan jauhilah mereka dengan cara yang baik". (QS Muzzammil : 10)

Hijrah dengan hati bererti menjauhi sesuatu tanpa menampakkan perbuatan seperti firman Allah swt,

"Berkatalah Rasul : `Ya Tuhanku, sesungguhnya kaumku menjadikan Al-Qur'an ini suatu yang tidak diacuhkan' ". (QS Al-Furqan : 30) Hijrah boleh juga membawa makna terhadap ketiga-tiga cara di atas semuanya seperti firman Allah,

"Dan perbuatan dosa, maka jauhilah" (QS Al-Muddatsir : 5)

Hijrah adalah suatu kemestian. Allah swt membangun sistem di alam ini berdasarkan gerakan, misalnya planet-planet yang bergerak dan berjalan pada orbitnya.

Allah swt berfirman :

"Dan matahari berjalan di tempat peredarannya. Demikianlah ketetapan Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui." (QS Yaasin : 38)

Imam Syafi'e menggambarkan dalam sya'irnya yang sangat indah bahwa :
  1. Air yang bertakung akan busuk.
  2. Air yang mengalir akan kelihatan bersih dan jernih.
Seandainya matahari berhenti di ufuk timur terus menerus, nescaya manusia akan bosan dan mengalami tekanan.

Amat benar, hijrah merupakan suatu kemestian kerana :

1. Dalam diam tersimpan segala macam keburukan.

2. Kenderaan yang disimpan berbulan-bulan akan mudah berkarat dan rosak.

3. Jasad yang didudukkan secara terus menerus akan menghidap banyak penyakit.

Itulah rahsia mengapa perlu ada pergerakan.

Syaikh Muhammad Al Ghazali berkata :

"Bahwa orang-orang yang menganggur adalah manusia yang mati. Ibarat pepohonan tanpa buah, para penganggur itu adalah manusia-manusia yang kewujudannya menghabiskan keberkatan." Terbukanya kota Makkah adalah keberkatan hijrah. Seandainya Rasulullah saw dan sahabat-sahabatnya tetap berdiam di kota Makkah, tidak pernah terbayang akan lahir sebuah kekuatan besar yang kemudian menyebarkan rahmat untuk seluruh alam.

Sungguh, berkat berhijrah ke kota Madinah menjadikan kekuatan baru umat Islam terbangun yang darinya kepimpinan Islam menyebar jauh, tidak hanya melampaui kota Makkah atau Jazirah Arab bahkan lebih dari itu melampaui daerah-daerah Parsi dan Romawi.

Ada beberapa dimensi hijrah yang mesti kita wujudkan dalam hidup kita sehari-hari di era moden ini agar kita mendapatkan keberkatan :

PERTAMA : DIMENSI PERIBADI.

Setiap mukmin mesti sentiasa lebih baik kualiti keimanannya pada hari ini berbanding hari kelmarin.

Oleh sebab itu dalam Al-Qur'an, Allah swt sentiasa menggunakan perkataan "ahsanu amala" (paling baik amalnya). Maksudnya bahwa tidak patut seorang mukmin masuk di lubang yang sama dua kali. Maknanya mesti berubah dan mengambil pelajaran dari sejarah.

Itulah sebabnya mengapa sepertiga Al-Qur'an menggambarkan peristiwa sejarah. Ianya untuk menekankan betapa pentingnya belajar dari sejarah dalam membangun ketakwaan.

Dari sini kita faham mengapa Allah swt dalam surah Al Hasyr ayat 18 meletakkan perintah bertakwa dengan perintah belajar dari sejarah :

"Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." KEDUA : DIMENSI SOSIAL.

Seorang mukmin tidak seharusnya berbuat zalim, mengambil sesuatu penghasilan secara haram dan hidup bersenang-senang di atas penderitaan orang lain.

Ia mesti segera berhijrah dari situasi sosial semacam ini. Ia juga mesti segera membangun budaya "takaful" (saling menanggung beban).

Itulah rahsia disyari'atkan zakat bahwa di dalam harta yang kita miliki, ada hak orang lain yang mesti dipenuhi.

Allah swt berfirman :

"Dan orang-orang yang dalam hartanya tersedia bahagian tertentu." (QS Al Maarij: 24) Sikap ini telah terbukti dalam sejarah bahwa membangun budaya "takaful" akan menyelesaikan banyak penyakit sosial yang akhir-akhir ini sangat mencengkam.

Tingginya angka kemiskinan dan pengangguran di sesetengah negara yang kaya dengan sumber alam semulajadi sungguh merupakan suatu pemandangan yang melukakan. Namun ini tentu ada sebabnya, di antaranya yang paling pokok adalah kerana kezaliman dan ketidakjujuran.

Dari sini jelas bahwa hijrah yang mesti dibuktikan ketika ini adalah komitmen untuk tidak lagi mengulangi budaya rasuah kerana dari budaya inilah berbagai penyakit sosial lainnya tidak dapat dihindarkan.

KETIGA : DIMENSI DAKWAH. Seorang mukmin tidak boleh berhenti pada titik sekadar mengaku sebagai seorang mukmin secara ritual sahaja melainkan mesti dibuktikan dengan mengajak orang lain kepada kebaikan.

Ingat bahwa syaitan sentiasa bekerja keras siang dan malam mengajak orang lain ke neraka dan ia benar-benar berkomitmen untuk tidak masuk ke neraka bersendirian. Dari sinilah saatnya seorang mukmin mesti bersaing dengan syaitan.

Ia mesti berhijrah dari sikap pasif kepada sikap produktif. Produktif dalam ertikata bekerja keras mengajak orang lain ke jalan Allah swt kerana tidak patut seorang mukmin bersikap pasif. Sifat pasif ini bukan sahaja akan membawa banyak kuman pelemah iman bahkan juga membawa bencana bagi kemanusiaan.

Itulah sebabnya mengapa seorang pemikir muslim abad ini, Syaikh Abul Hasan Ali An-Nadwi menulis sebuah buku yang sangat terkenal dan monumental : "Betapa dahsyatnya kerugian yang dialami dunia ketika umat Islam tidak berdaya".

Memang benar bahwa dunia ini sangat memerlukan umat Islam yang berdaya maju dan produktif dan bukan yang pasif dan kini kita menyaksikan dengan mata kepala sendiri betapa kerosakan bermaharajalela melanda kemanusiaan akibat dari lemahnya umat Islam. Bandingkan dengan zaman dahulu ketika Umar Bin Al Khatthab dan Umar bin Abdul Aziz memimpin dunia.

Melihat kenyataan yang ada, memang hijrah pada masa ini masih sangat relevan untuk diterapkan terutama yang berkaitan dengan :

1. Hijrah nafsiyah (individu) dengan berusaha menjauhkan diri dari melakukan perbuatan yang menyimpang dan berusaha memperbaiki diri untuk bersih dari segala perbuatan yang kotor sehingga hati dan jiwa serta segala perbuatan menjadi suci.

2. Hijrah Jamai'yah (kelompok) iaitu berusaha merubah pemikiran dan tatacara interaksi institusi keluarga, kaum kerabat, lingkungan dan masyarakat yang ada di sekitarnya (terdekat) hingga pada akhirnya membentuk komuniti yang siap sedia melakukan hijrah ke arah cara hidup Islam yang sebenarnya.

Allah swt berfirman,

"Barang siapa yang berhijrah di jalan Allah nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Barangsiapa yang keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". (QS An-Nisa : 100)

Sempena dengan kedatangan Tahun Baru Hijriah 1432, kefahaman hijrah seperti di ataslah yang mesti segera kita buktikan.
Ya Allah, sesungguhnya kami memahami betapa besarnya pengorbanan Rasulullah saw dengan melakukan hijrah di mana dengan hijrahlah akhirnya beliau berhasil mencetak generasi yang berjiwa bersih, berhati suci bahkan membentuk generasi yang ideal, bersih dari kemusyrikan, kekufuran dan kemunafikan, memiliki kekuatan iman yang teguh dan ikatan ukhuwwah Islamiyah yang erat. Kurniakanlah kekuatan tekad dan azam kepada kami sehingga kami juga dapat menyusuri laluan hijrah Rasulullah saw bagi merubah kefahaman dan pemikiran kami ke arah perubahan kehidupan yang lebih menyeluruh.

Ameen Ya Rabbal Alameen

Wan Ahmad Sanadi Wan Ali
Pengerusi JK Tarbiah IKRAM Shah Alam

"Ukhuwah Teras Kegemilangan"

Thursday, December 2, 2010

Dakwah Itu Seni


 Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian
"Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua buah hati dalam rongganya." (Al-Ahzab: 4)
Tidak mungkin pemilik hati yang sarat dengan cinta dan keimanan dalam masa yang sama ia adalah seorang yang berhati gersang, kasar serta menyimpan rasa dengki dan kebencian kepada pihak lain.
"Maka disebabkan rahmat dan Allahlah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu." (Ali Imran : 159)
"Pergilah kamu berdua kepada Fir'aun, sesunggubnya dia telab melampaui batas, maka berbicaralab kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut" (Thaahaa : 43-44)
"Maka tiba-tiba orang yang antaramu dan dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia." (Fushilat: 34)
Sebahagian besar dari kalangan kaum muslimin hanya melihat ibadah dan pelaksanaannya hanya sebatas bentuk penampilan lahiriah semata-mata tanpa ruh.
Seorang muslim dengan asyiknya menunaikan ibadah tanpa mempedulikan bahwa Islam adalah juga agama "misi dan dakwah".
Oleh kerana itu, peranan sosial dan dakwahnya mulai melemah sehingga ia tidak mampu menyentuh seluruh lapisan masyarakat untuk mengubah dan mencelupnya dengan warna Islam samada :
  1. Secara teori mahupun praktikal.
  2. Melibatkan tingkatan emosi dan syiar mahupun syariatnya sekaligus.
Apabila risalah Islam ditujukan untuk seluruh umat manusia di muka bumi, maka menjadi sesuatu yang sangat mendesak bagi masyarakat untuk dapat melahirkan para pendakwah yang memiliki keupayaan yang memadai dalam bidang :
  1. Ilmu.
  2. Kecekapan.
  3. Keteladanan.
Seorang pendakwah yang mampu memahami rahsia jiwa seseorang akan mampu menghiasi diri dengan watak yang sabar dan berlapang dada.
"Ya Tuhanku, lapangkanlah untukku dadaku." (QS Thaahaa : 25)
Mereka mestilah juga memiliki firasat yang tajam dan hujah yang kuat.
Allah swt berfirman:
"Katakanlab, 'Inilah jalan (agamaku), aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujah yang nyata. Maha Suci Allah, dan aku tidak termasuk orang-orang yang musyrik." (Yusuf : 108)
Rasulullah saw bersabda :
"Waspadalah kamu terhadap firasat seorang mukmin, kerana ia melihat dengan cahaya Allah."
Para pendakwah itu juga mesti memiliki kemampuan untuk membangkitkan "deria ketuhanan" demi :
  1. Menarik simpati hati.
  2. Menyatukan jiwa.
  3. Berinteraksi dengan gerakan dakwah beserta medannya yang membentang luas.
Ini semua dapat diwujudkan melalui :
  1. Ajakan dan seruan yang baik.
  2. Cara yang baik.
  3. Metod dialog.
  4. Hujah yang lebih baik.
  5. Keteladanan tanpa mencela.
Semua cara-cara di atas dipilih kerana bersesuaian dengan tradisi yang kita kenali selama ini iaitu :
"Kesucian suatu tujuan menuntut kesucian cara dalam merealisasikannya".
Sebelum tujuan tercapai, wasilah mestilah sudah ditentukan dan tidak ada tawar menawar dalam soal ini.
Yang dapat membantu kita dalam usaha-usaha dakwah adalah :
  1. "Taqwa kepada Allah" baik ketika kita bersendirian mahupun di tengah keramaian.
  2. "Yakin akan janji Allah" yang tiada keraguan di dalamnya.
"Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal soleh bahwa Dia sungguh sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diridhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahKu dengan tiada mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Aku." (An Nuur : 55)
Di samping itu, kita mesti membekalkan diri dengan ikatan kasih sayang yang mendalam untuk meneguhkan hati dan mengukuhkan tempat berpijak kita bersama Kitabullah dan syariat Allah yang jelas.
Seorang penyair bermadah :
Untuk kefakiran kukenakan pakaian kebesaran
Untuk kesabaran kupintal tali yang panjang
Aku bersabar kerana tekad, bukan kerelaan
Dan kubangun dakwahku, generasi demi generasi
Allah swt berfirman:
"Wahai orang-orang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaran kamu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negeri kamu) dan bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu beruntung." (Ali Imran : 200)
"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegab dari yang mungkar; merekalab orang-orang yang beruntung." (Ali Imran : 104)
Dengan semangat yang tinggi mereka menyeru manusia kepada kebenaran dan kebaikan, tetapi ramai di antara mereka yang tidak mengetahui cara untuk mengambil hati objek dakwah sehingga banyak kesempatan yang berharga menjadi terbuang sia-sia.
Sesungguhnya cara untuk memikat hati objek dakwah dipengaruhi oleh banyak faktor seperti :
  1. Umur.
  2. Pendidikan.
  3. Tradisi.
  4. Pola berfikir.
Setiap jamaah, kelompok atau parti mempunyai cara dan wasilah tersendiri dalam merangkul masyarakat awam sesuai dengan tujuan masing-masing.
Sebagai pendakwah, kita pun mesti menggunakan cara dan wasilah yang diilhamkan oleh Aqidah Islamiah sehingga langkah yang kita tempuhi tidak terlepas dari petunjuk-petunjuk syariat.
Rasulullah saw telah mengajarkan kepada kita cara berdakwah yang mudah untuk diterapkan dan mencakupi segenap segi kehidupan sehingga siapa sahaja yang ingin berdakwah tidak akan menghadapi kesulitan mencari metod yang tepat dalam :
  1. Bergaul dengan masyarakat.
  2. Mengajak mereka kepada kebenaran.
  3. Bersabar atas gangguan yang diterima.
Allah swt berfirman:
"Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal soleh dan berkata, 'Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserab diri?' Tidaklah sama kebaikan dengan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, sehingga orang yang di antaramu dan dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang setia." (Fushilat : 33-34)
Wasiat Imam Hasan Al-Banna
“Janganlah engkau putus asa, kerana putus asa bukanlah akhlak seorang muslim. Ketahuilah bahwa kenyataan hari ini adalah mimpi hari kelmarin, dan impian hari ini adalah kenyataan di hari esok. Waktu masih panjang dan hasrat akan terwujudnya kedamaian masih tertanam dalam jiwa masyarakat kita, meskipun fenomena-fenomena kerosakan dan kemaksiatan menghantui mereka. Yang lemah tidak akan lemah sepanjang hidupnya dan yang kuat tidak akan selamanya kuat.”
Allah swt berfirman:
"Dan Kami hendak memberi kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi (Mesir) itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi), dan akan Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi dan akan Kami perlihatkan kepada Fir'aun dan Haman serta tenteranya apa yang selalu mereka khuatirkan dari mereka itu." (Al-Qashash : 5-6)
Putaran waktu akan memperlihatkan kepada kita peristiwa-peristiwa yang mengejutkan dan memberikan peluang kepada kita untuk berbuat sesuatu.
Dunia akan melihat bahwa dakwah ini adalah :
  1. Hidayah.
  2. Kemenangan.
  3. Kedamaian.
yang dapat menyembuhkan umat dari rasa sakit yang sedang dideritainya.
Selepas itu tibalah giliran kita untuk memimpin dunia kerana bumi tetap akan berputar dan kejayaan itu akan kembali kepada kita. Hanya Allahlah satu-satunya harapan kita.
Bersedia dan beramallah dan jangan menunggu datangnya esok hari kerana boleh jadi kita tidak mampu berbuat apa-apa pada esok hari.
Kita memang perlu menunggu putaran waktu itu, tetapi kita tidak boleh berhenti.
Kita mesti terus beramal dan terus melangkah kerana kita memang tidak mengenal kata-kata "berhenti" dalam berjihad.
Allah swt berfirman:
"Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, sungguh akan Kami tunjukkan jalan-jalan Kami." (Al Ankabut : 69)
Hanya Allahlah Zat yang Maha Agung, bagiNya segala pujian.
Individu adalah komponen terkecil dalam susunan masyarakat. Ia memegang peranan penting dalam menentukan perjalanan dan bentuk masyarakat itu sendiri.
Oleh kerana itu, yang menjadi tonggak dalam usaha dakwah ini adalah individu, kemudian keluarga dan akhirnya masyarakat.
Maka perbaikilah diri kita terlebih dahulu, kemudian serulah orang lain ke jalan kebaikan kerana dengan terwujudnya peribadi-peribadi yang benar-benar mukmin akan membuka banyak peluang untuk kejayaan. Inilah karakteristik Islam yang paling menonjol, iaitu pembentukan peribadi Islam (takwin asy-syakhshiyah al-islamiyyah).
Walaupun jumlah orang yang memusuhi Islam sangat banyak, namun jika kita dapat mengajak satu orang dari mereka dalam setiap hari agar mahu bergabung dalam dakwah Islamiah, maka secara perlahan tetapi pasti, kita telah menarik keluar mereka dari kehinaan jahiliah menuju kemuliaan di bawah naungan cahaya Islam.
Bukankah ini adalah tujuan dakwah?
Bukankah mencari pengikut dengan cara seperti ini adalah tindakan yang bijaksana dan akan membuahkan hasil yang jelas?
Tugas kita adalah meluruskan pendapat umum yang salah terhadap Islam. Jika individu boleh menjadi baik, maka masyarakat pun akan menjadi baik dan dengan sendirinya Islam akan berdiri tegak.
Dalam Jamaah Ikhwanul Muslimin contohnya, mereka mengadakan satu program yang disebut dengan projek “al-akh al-wahid”, iaitu setiap anggota berjanji dan berusaha untuk mengajak satu orang anggota baru dalam satu tahun.
Tidak seorangpun dibenarkan untuk menunda-nunda waktu, kerana putaran waktu adalah sebahagian dari proses rawatan dan pembentukan (at waqtu juz'un minal 'ilaj wat takwin).
Sehari dalam kehidupan individu adalah setahun dalam kehidupan umat. Umat yang mengerti betul akan hakikat kehidupan, mereka tidak akan pernah mati.
Ini semua akan bergantung kepada para pendakwah dalam memandang kesucian dan kepentingan risalah dakwah serta bergantung pada pengorbanan para pendakwah itu sendiri meliputi :
  1.  
    1. Harta.
    2. Tenaga.
    3. Waktu.
Yang perlu diperhatikan oleh para pendakwah pada masa pembentukan (fasa takwiniyah) adalah melahirkan “uswah hasanah” (contoh tauladan yang baik), bertujuan untuk menampilkan di hadapan masyarakat gambaran yang nyata tentang Islam.
Ini mesti dilakukan dengan kemantapan iman, pemahaman yang bersifat sejagat dan mempunyai toleransi dalam masalah-masalah khilafiah dan furu’.
Metod dakwah mestilah secara ‘tadarruj’ (bertahap) sebagaimana firman Allah swt :
Tahap 1
"Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang terdekat." (Asy-Syu'ara : 214)
Tahap 2
"Maka sampaikanlah olehmu secara terang-terangan segala apa yang diperintahkan (kepadamu) dan berpalinglah dari orang-orang musyrik. " (Al-Hijr : 94)
Tahap 3
"Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka telab dianiaya. Sesunggubnya Allah benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu." (Al-Hajj : 39)
Maka jelaslah kepada kita bahwa :
Dari anasir jahiliah, Rasulullah saw mencetak pasukan hidayah. Dari anasir hidayah pula, Rasulullah saw berjaya menguasai wilayah-wilayah thaghut dan di jalan itulah, Rasulullah saw meletakkan sistem dakwahnya.
Semoga kita memahami bahwa Dakwah kepada Allah itu :
  1. Seni yang amat tinggi.
  2. Diilhamkan oleh aqidah.
  3. Diperbaharui oleh deria yang peka, bersih dan terdidik.
  4. Diperjelaskan dengan keterampilan dan penjelmaan nyata.
  5. Dibalut dengan jiwa yang ramah dan berseri.
Ya Allah, kurniakanlah ilham dan firasat yang baik kepada kami supaya dengan itu kami mampu menyusuri relung-relung hati manusia dan menyalakannya di dinding-dindingnya dengan kekuatan cahaya dariMu. Campakkanlah petunjukMu ke dalam jiwa manusia sehingga ruangannya menjadi cerah dan jiwa itu dapat berjalan di atas jalanMu yang lurus menuju matlamat dan sasaran yang jelas.
Ameen Ya Rabbal Alameen

Wednesday, December 1, 2010

Sampai bila tarbiyyah?

Bagi mereka yang sedang tekun dalam meniti liku-liku tarbiyyah, pasti kadang-kala terdetik di hati mereka akan persoalan ini. Persoalan ini lebih mencabar untuk diberi jawapan pada mereka yang hidup di lokaliti di mana dakwah baru mula bertapak. Lebih parah lagi, ramai yang mungkin kecewa dan putus asa dengan tarbiyyah bila mana dakwah telah lama berlangsung, tetapi terus kekal statik seperti masa ia bermula seketika dahulu. Masih tidak meningkat ke marahil yang lebih signifikan kesannya.
Sebahagian pejuang tarbiyyah pula mungkin cemburu bila melihat negeri seberang telah mula mekar dan kembang kuntuman dakwah mereka. Sudah mula mencatur dan mengagihkan kerusi-kerusi parlimen yang hendak ditandingi. Sudah mula berjuang dan berhadapan dengan taghut pemerintah. Lantas mereka futur dan gugur di tengah jalan lantaran bosan dengan marhalah perjuangan mereka yang tidak berkembang. Juga sebahagian mereka terus radikal, segera terjun ke persada politik. “Ini juga tarbiyyah…”, kata mereka. Fenomena ini bisa kita ketemui di mana-mana bumi dakwah dan tarbiyyah itu cuba diperjuangkan. Maka, sampai bila perlu tarbiyyah?
Sangat penting bagi pendukung tarbiyyah memahami substance tarbiyyah itu sendiri. Apa yang kita nak capai sebenarnya? Tarbiyyah ni sekali-sekala tak boleh ke? Kenapa kena kerap pula? Dan sampai bila perlu tarbiyyah?
Tarbiyyah adalah uslub paling ideal dalam berinteraksi dengan fitrah manusia. Mendidik manusia secara langsung dengan kalimah-kalimah, dan secara tidak langsung dengan qudwah hasanah. Tarbiyyah perlu didasari manhaj dan wasilah yang khas, bagi mengubah manusia ke arah yang lebih baik.
Itu definisi tarbiyyah yang disusun oleh para ulama’ tarbiyyah. Kefahaman akan definisi ini dan apa yang dimaksudkan di sebaliknya, sudah cukup untuk memandu para du’at ke arah medan perjuangan. Tidak timbul lagi setelah itu persoalan masa. Ibaratnya, tarbiyyah itu dulu, kini, dan selamanya.
Dalam kita merangka gerak perjuangan, kita perlu melihat kepada peribadi-peribadi yang mahu bersama saff kita. Bagaimana fikrah mereka? Bagaimana ibadah dan hubungan mereka dengan Rabb dan makhlukNya? Bagaimana akhlak mereka? Bagaimana keyakinan mereka terhadap jalan ini? Semua ini mampu diselesaikan oleh tarbiyyah mustamirrah (konsisten) dan bukan sekadar sebentar sahaja.
Seharusnya tiada istilah graduate dari madrasah tarbiyyah. Hasil dari tarbiyyah berpanjangan ini, lahirlah rijal yang mampu menanggung beban dan masalah ummah. Rijal tersebut masih bernilai manusia, dan masih perlu dirawat hati, akal, dan jasadnya. Maka berterusanlah tarbiyyah itu dalam mendidik jiwa-jiwa ini.
Kembali sejenak melihat sirah Ar-Rasul, bagaimana Baginda merawat hati para sahabat yang tidak sabar-sabar mahu berhadapan dengan puak Kuffar. Sewaktu Islam baru mula bertapak di Mekkah, para sahabat sebahagiannya diseksa dengan sangat dahsyat. Di antara mereka ialah Khabbab bin Aarat, yang cuba dipanggang jasadnya oleh kuffar Quraisy. Lantaran tidak tahan seksaan tersebut, Khabbab merayu pada Rasulullah supaya bertindak menekan kekejaman mereka.
Beliau berkata, “Kami mengeluh di hadapan Rasulullah s.a..w saat beliau sedang bersandar di Ka’bah. Kami berkata kepadanya,”Apakah engkau tidak memohonkan pertolongan bagi kami? Tidakkah engkau berdoa kepada Allah untuk kami?”. Rasulullah s.a.w kemudian bersabda, “Dahulu seorang lelaki ditanam badannya ke dalam bumi lalu gergaji diletakkan di atas kepalanya dan kepalanya dibelah menjadi dua namun hal itu tidak menghalanginya dari agamanya. Dan disisir dengan sisir besi sehingga terkupaslah daging dan kulitnya sehingga tampaklah tulangnya namun hal itu tidak menghalanginya dari agamanya. Demi Allah, urusan ini akan disempurnakanNya sehingga seorang penunggang kuda akan berkelana dari San’aa ke Hadramawt tidak takut apa pun selain Allah atau serigala yang akan menerkam gembalaannya, akan tetapi kalian tergesa-gesa!” (HR Bukhary 3343)
Begitulah sikap Ar-Rasul di permulaan dakwah. Detik mencari kekuatan, membina persediaan. Usaha Baginda fokus, dakwah dan tarbiyyah. Bahkan, usaha ini berterusan meskipun setelah berhijrah ke Madinah, mengangkat senjata, dan membina empayar. Imam Hassan Al-Banna juga tidak lupa mengingatkan kita akan perkara ini. Pesan beliau, janganlah kita ‘memetik buah sebelum ia ranum’. Semoga kita terus tsabat di atas jalan dakwah dan tarbiyyah ini, sehingga ke akhir medan.
Oleh: Muhammad Syamil Muhammad Salmi
ISMA Jordan 2010
Sumber: Laman Web ISMA Jordan

Rasional Berpandukan Iman


Manusia seringkali berdepan masalah dalam kehidupan.

'Bumi mana tidak ditimpa hujan', kan?

Tidak ada manusia yang tidak ada masalah dalam kehidupannya, walau se'perfect' mana sekalipun orang itu, walau sehebat mana sekalipun orang itu, walau apa pun jawatan dan kedudukan yang dia miliki.

Semua orang akan berdepan dengan masalah.
Hatta, orang yang kurang waras itu pun ada 'masalah dia sendiri'.

Saya, anda dan kita semua telah, sedang dan akan menghadapi masalah.

Cuma bagaimana cara kita merawat dan menyelesaikan masalah yang kita hadapi itu?

Masalah yang wujud sebenarnya adalah sebahagian daripada ujian kehidupan. Tanpanya, kita tidak akan memahami onar serta denai dalam kehidupan ini. Kita tidak tahu apa erti kesusahan hidup. Kita tidak akan pandai menghargai kesenangan dan kenikmatan yang bersama diri kita.

Ya. Masalah yang wujud itulah sebenarnya ujian yang mematangkan kita.


RASIONAL DALAM MENYELESAIKAN MASALAH

Berdepan dengan masalah bukannya sesuatu yang mudah, tak?
Namapun masalah.
Namun, itu bukanlah menjadi penghalang kita untuk menyelesaikan masalah kita secara rasional.

Tidak dinafikan, masalah yang dihadapi oleh manusia berbeza-beza mengikut situasi dan kemampuan yang ada pada dirinya.
Mungkin pada ayah dan mak, soal kerja,sarahidup, pendidikan, dan karenah anak-anak selalu menjadi bahan perbincangan yang kritikal.
Bagi anak-anak pula, mungkin masalahnya tertumpu pada soal pembelajarannya, cara pemikirannya barangkali !
Seorang guru tumpuan masalahnya pada anak-anak murid yang mungkin nakal dan tidak mahu dengar cakap.
Seorang doktor mungkin pada masalah kesibukan tugasannya sehingga tidak ada ruang untuk anak dan isteri di rumah.
Dan sebagainya...

Ya. Masing-masing berdepan dengan masalah. Kecil mahupun besar.

Namun, orang-orang yang beriman kepada Allah, meskipun diuji dengan pelbagai masalah, perkara utama dalam kamus hidupnya ketika itu sudah tentulah KESABARAN.

Bukankah Nabi s.a.w. pernah bersabda yang mafhumnya:

"Ajaib sungguh orang beriman. Segala urusan mereka menjadi baik bagi mereka. Sekiranya mereka diuji dengan kesenangan, maka mereka BERSYUKUR, maka kebaikanlah buat diri mereka. Sekiranya mereka diuji dengan KESUSAHAN atau KEMUDHARATAN, maka mereka BERSABAR, maka kebaikanlah buat diri mereka."

Sabar.Sabar. Dan sabar.
Allah sedang mengujimu, bisik hati.

Bila berdepan dengan masalah, maka berusahalah untuk selesaikan masalah secara RASIONAL.
Ya. Kadang-kadang kita kalah dengan masalah yang kita hadapi. Bahkan kita menambah masalah yang ada pada kita bilamana kita berdepan dengan masalah secara EMOSIONAL.

Bagaimana nak rasional lagi jikalau masalah yang datang itu merampas segala-galanya dalam kehidupan kita?
Kadang-kadang timbul persoalan sebegini apabila ditimpa dengan masalah yang terlalu berat rasanya untuk kita. Seolah-olah, dalam dunia ini, masalah kitalah yang paling besar dan berat sekali.

Sebab itu, biarlah kita berdepan dengan masalah dalam keadaan IMAN kita bersedia. Diuji dengan mehnah tribulasi yang besar sekalipun, namun ia tidak mematahkan semangat dan tekad kita untuk terus hidup dan bekerja.

IMAN meyakinkan kita bahawa dalam setiap masalah, Allah jugalah yang akan membantu. Allah pasti akan buka 'jalan keluar' kepada kita apabila kita yakin kepada-Nya.

IMAN akan menampakkan pada kita bahawa masalah itu sebenarnya kecil saja, yang lebih besar adalah bagaimana kita menghadapinya?

Emosional tidak sekali-kali mampu membantu kita menyelesaikan masalah kita secara baik.
Ya. Mungkin kita akan lega sikit, puas sekejap, setelah kita menangisi ujian yang mendatangi kita itu.
Tidak mengapa, menangislah !
Mungkin kita rasa marah dalam keadaan emosional itu akan menyelesaikan masalah kita, tetapi sebenarnya tidak. Kelegaan itu hanya sementara. Ia tidak menyelesaikan apa pun, sebaliknya menambah keruh lagi permasalahan itu.

Ketika kita marah, maka syaitan sudah pun sebenarnya berjaya ke atas diri kita. Sebab itu, nak marah pun biarlah dengan cara yang rasional.

Fikirlah secara RASIONAL, jangan biarkan masalah kita diselubungi dengan penilaian yang EMOSIONAL, maka penyelesaiannya pasti lebih PROFESIONAL.


Pandanglah masalah dari sudut yang luas,
berhenti melihat dari sudut yang sempit

RASIONAL KITA ADALAH BERPANDUKAN IMAN

Ketika kita sedang berat dan rasa terbeban menanggung masalah itu, rasailah bahawa Allah tidak akan uji kita dengan masalah itu melainkan sebenarnya kita mampu.

Jadilah orang yang MENANG !

Orang yang menang itu tidak cepat berputus asa, kuat keinginan serta sentiasa beri harapan lagi pada dirinya.

Maka, dia tidak akan cepat mengalah dengan ujian yang diberi.

Orang yang kalah pula, tidak habis-habis disalahkan segala-galanya. Dia menyalahkan orang itu, orang ini. Lebih teruk, menyalahkan Tuhan !

Di sinilah, kita perlu melihat titik bermula (noktah bidayah) dalam kehidupan kita. IMAN itu yang menjadi titik mula kita, asas dalam kehidupan. Kekuatan sebenar itu terletak pada iman. Penyelesaian sebenar itu ada pada iman kita kepada Allah.

Inilah rasional mukmin.
Penyelesaian terhadap segala masalah dipertimbangkan di atas neraca iman.
Segala-galanya dipertimbangkan atas neraca itu.
Bolehkah kalau aku buat macam ni?
Kalau aku buat macam ni, jadi macam mana pula lepas ni?
Kalau aku marah-marah ni, bila akan selesai masalah?
Aku buat macam ni, Allah bagi ke?
Bukan Rasul larang ke buat macam ni?
Al-Quran sebut macam mana?

Dipertimbangkan segala persoalan yang menerpa dalam minda secara rasional mengikut iman.
Bukannya hasutan nafsu dan bisikan iblis jadi neracanya.
"Aku punya hal, aku punya sukalah nak buat macam mana ...."
Akhirnya, masalah kecil menjadi besar.
 Yang besar, tidak dapat diselesaikan.

Firman Allah dalam surah Al-Jathiyah, ayat 23 yang bermaksud:

"Maka pernahkah kamu melihat orang-orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmunya dan Allah telah mengunci mati pendengarannya dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya, maka siapakah yang akan memberi petunjuk setelah Allah (membiarkannya sesat) maka mengapa kamu tidak mengambil pengajaran."


PANDANGLAH DARI SUDUT POSITIF

Ada hikmahnya masalah itu berlaku pada kita. Lihatlah dari sudut yang positif.

Berhentilah memandang masalah sebagai masalah, tetapi pandanglah masalah sebagai peluang dan ruang untuk kita dapat lebih banyak manfaat.

Masalah pun boleh beri manfaat ke?
Ya. Sudah tentu, bilamana kita memandangnya dari sudut positif.

Kita akan lebih matang dalam memahami selok-belok kehidupan. Kita telah biasa menghadapi situasi yang berat, tidak ada masalah bagi kita jika berdepan dengan situasi yang lebih ringan atau hampir-hampir serupa seperti itu.
Jiwa kita kuat kerana telah dilatih dengan masalah yang kita hadapi sebelum ini.

Kita akan berusaha untuk buat yang lebih baik dalam kehidupan kita. Masalah yang kita hadapi itu sebagai pemangkinnya.

Iman dan keyakinan kepada Allah semakin bertambah kerana sabar dalam menghadapi masalah dan menyelesaikannya secara rasional.

Lebih penting, usaha kita menangani masalah itu dikira sebagai pahala dan ibadah bilamana kita ikhlas kepada Allah.

Inilah MANFAATNYA ...

Manis bukan, natijah daripada penyelesaian yang rasional berpandukan iman itu?